Friday, 22 March 2013

Kad Informasi, Kastam dan Imigresen


Perjalanan dari Lapangan Terbang Tambang Murah Sepang ke Perth mengambil masa lebih kurang 5 jam 30 minit. Sebaik saja pesawat berada di awan, anda akan diberi sekeping kad. Kad ini perlu diisi bagi memberi informasi kepada pegawai di kaunter kastam dan imigresen sebaik tiba di Terminal Antarabangsa Perth.


             Anda perlu menjawab setiap soalan yang diberi. Sila pastikan anda gunakan pen bermata bola berwarna hitam atau biru. Antara soalan yang tercatat pada kad tersebut adalah alamat penginapan dan nombor telefon anda sewaktu berada di Perth. Anda juga akan ditanya berapa banyak wang yang dibawa dan juga tentang barang makanan.

               Pegawai kastam dan imigresen di Terminal Antarabangsa Perth amat tegas dalam  setiap barang yang dibawa masuk ke negara mereka. Terutama sekali barang makanan dan cenderahati. Jika anda ada membawa barang makanan kering seperti maggi, ubat-ubatan dan susu formula bayi, anda perlu beritahu kepada pegawai kastam dan imigresen yang bertugas. Selalunya tiga soalan ini pasti akan ditanya. Jadi jangan cuba sembunyikan daripada mereka. Jika ditangkap, anda akan didenda atau terus dihantar pulang.



                Jika didalam pesawat, anda ada membeli minuman seperti teh ataupun milo/nescafe, selalunya ia akan diberi dalam bentuk uncang teh ataupun dalam peket sachet. Jika ada baki uncang teh atau peket sachet yang tidak digunakan dan anda turut membawanya bersama anda, anda perlu beritahu kepada pegawai tersebut.



             Pengalaman keluarga sahabat warga Malaysia dan juga merupakan penduduk tetap Perth, menjadi pengajaran kepada saya. Hanya kerana beberapa peket sachet nescafe dan gula yang berbaki sewaktu dibeli di atas pesawat, mereka telah didenda hampir AUD200.00. Jadi sebelum terkena, lebih baik beritahu dahulu.




              Jika anda mempunyai penyakit diabetes, asthma atau penyakit lain yang memerlukan anda membawa ubat-ubatan, anda perlu dapatkan surat dari doktor anda di Malaysia. Pegawai yang bertugas pasti meminta surat tersebut bagi mendapatkan pengesahan. Jika tidak, ubat-ubatan anda pasti akan terus dibuang ke dalam tong sampah.

           Apabila telah selamat mendarat, pastikan setiap barang yang dimiliki ada bersama anda kecuali beg yang disimpan di perut pesawat. Beg yang disimpan di perut pesawat hanya boleh diambil sebaik saja paspot anda telah dicop oleh pegawai imigresen yang bertugas di kaunter imigresen.

          Kaunter imigresen terletak di bahagian bawah Terminal Antarabangsa Perth iaitu selepas kedai “duty free”. Pastikan lorong yang betul bagi pemegang paspot antarabangsa melainkan jika ada petugas yang membuka lorong ekspres kerana adakalanya kawasan itu penuh sesak dengan pelancong dari dalam dan luar negara.

          Adakalanya ketika berada di lorong beratur menunggu giliran menuju ke kaunter imigresen, seorang pegawai bersama dengan seekor anjing pengesan, akan melalui lorong tersebut. Pastikan anak-anak anda tidak panik kerana itu hanya akan menarik perhatian anjing tersebut. Tetapi perkara ini jarang berlaku.

             Bagi pelancong yang pertama kali menjejakkan kaki di Perth, pegawai bertugas di kaunter akan pastikan anda keluarkan paspot anda dari sarungnya. Selagi anda tidak menanggalkan sarung paspot anda, mereka tidak akan cop paspot tersebut. Melainkan jika anda tidak faham bahasa Inggeris dengan baik, pegawai yang bertugas akan melakukannya bagi pihak anda. Serahkan paspot anda bersama dengan kad informasi yang diisi di dalam pesawat tadi kepada pegawai tersebut.

           Beberapa soalan akan ditanya oleh pegawai yang bertugas di kaunter ini. Antara soalannya adalah adakah wang yang anda bawa melebihi dari AUD10,000.00? Adakah anda mempunyai saudara mara di sini? Jawablah dengan baik setiap soalan yang diajukan. Sekiranya anda datang bersama keluarga, kesemua keluarga anda perlu berada di kaunter imigresen bersama-sama anda. Pegawai imigresen ini akan mencatatkan perkataan berbentuk kod yang hanya difahami oleh mereka di atas kad informasi tadi.

              Sebaik semua paspot telah dicop, anda boleh simpan paspot anda di dalam beg tetapi kad informasi itu perlu dipegang untuk diserahkan kepada pegawai kastam di pintu keluar pula. Ketika ini anda perlu berjalan menuju ke bahagian pengambilan beg. Anda mungkin akan disapa oleh beberapa pegawai kastam yang berdiri berhampiran dengan tempat pengambilan beg tersebut. Mereka akan bertanyakan beberapa lagi soalan. Adakalanya soalan yang sama di tanya seperti pegawai yang bertugas di kaunter. Mereka juga akan meminta anda tunjukkan kad informasi kepada mereka tetapi pastikan anda dapatkan kembali kad tersebut kerana hanya pegawai yang berada di pintu keluar saja yang akan menyimpannya.

               Ketika ini pastikan semua beg milik anda bersama anda. Anda akan bertemu dengan pegawai kastam yang lain pula. Pegawai ini akan menentukan sama ada beg-beg yang dibawa perlu di periksa atau tidak berdasarkan kod catatan diatas kad informasi anda. Jika anda bernasib baik, pegawai tersebut akan mengarahkan anda ke pintu keluar. Jika tidak ini bermakna beg-beg anda akan diperiksa satu persatu.

Tips ketika berada di kaunter kastam dan imigresen :

   1)    Pastikan paspot dan kad informasi bersama anda.
   2)    Pastikan kad informasi telah diisi dengan betul dan di tandatangani.
   3)    Jawab setiap soalan yang diaju oleh pegawai imigresen dengan tenang.
   4)    Pastikan anda dan anak-anak tidak panik ketika anjing pengesan melalui lorong beratur ke kaunter imigresen.
   5)    Pastikan surat doktor ada bersama anda jika anda membawa ubat-ubatan dari Malaysia. (Lebih mudah jika anda bawa preskripsi ubat anda kerana boleh dibeli di farmasi di sini.  Harganya agak berpatutan.)
   6)    Tidak perlu membawa barang makanan kering kerana banyak restoran dan kedai runcit yang menjual makanan halal di sini.
   7)    Tidak perlu ambil baki uncang teh atau peket sachet yang tidak diguna dari dalam          pesawat.
  8)     Hanya 2 kotak rokok saja yang boleh di bawa bersama anda dari Malaysia. (Efektif 1 September 2012)

7 comments:

  1. Salam,

    Saya stumble blog ni masa google about perth. plan nak pergi soon.
    Boleh sy tanya, nail clipper yg ada pisau kecil di dlm tu consider sbg weapon tak?
    2 kotak rokok tu meaning if i dgn my cousin, kami boleh bawa 2 kotak each?

    ReplyDelete
    Replies
    1. alamak..mohon maaf.saya dah lama tak update blog ni. mohon maaf ya. nail clipper tu mmg weapon. takleh bawak. selalunya kat kaunter tiket lagi diorang dah tanya.

      ya betul. seorang cuma boleh bawak 2 kotak rokok sahaja.

      Delete
  2. Salam. nak tanya sikit bos.

    1. hanfon/ laptop/ kamera nanti kena declare x?
    2. kalau saya tidak membawa apa-apa barang makanan nanti tick "no" kat passenger card tu kan? kerana saya nak dtg melenggang je.. bawak pakaian + kamera + hanfon.
    3. gel rambut REVIVE tu kena declare x?

    ReplyDelete
    Replies
    1. mohon maaf lambat reply...

      saya ingat blog ini tiada pembaca.

      1. tak perlu declare
      2. ya betul
      3. tak perlu declare

      Delete
  3. Salam dear.thks for the info?nk tanye sikit,how bout if kite bel baby.of cos susu formula smpn dlm handbag kan..dieorg byangkn ke.nk declare food at kl airport ke kt sane ye..sorry baru nk holiday sane

    ReplyDelete
  4. Assalam sis..barang mandian perlu di declare tak? Seperti shampoo,losyen dll

    ReplyDelete
  5. Hi boleh bagi tips tempat tempat menarik yg boleh dilawati dan cara ke sana

    ReplyDelete